March 29, 2009

Mesyuarat Agung Tahunan PSSCUH UKM

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UKM akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh : 1 April 2009 (Rabu)
Masa : 8.30 Malam
Tempat : DK 111F, Bangunan Fizik, FST, UKM
Perasmi: Tn. Hj. Amruddin Hj Buang

Semua Ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UKM dijemput hadir bagi menjayakan majlis tersebut.

March 28, 2009

Malam Persaudaraan Cekak Hanafi

Sukacita dimaklumkan bahawa PSSCUHM akan menganjurkan Majlis Malam Persaudaraan Cekak Hanafi (Majlis Makan Malam) seperti butir-butir di bawah :

Tarikh : 29 Mac 2009 (Ahad)
Masa : 8.30 - 11.30 malam
Tempat : Dewan MPAJ, Taman Cempaka, Cheras
Tiket : RM15 seorang
Pakaian : Kemas
Warna Tema : Biru

Semua ahli SCH dijemput menyertai majlis yang tersebut di atas. Sila hubungi En. Radzif (012-2733717) @ Pn. Saliha (017-2528721) untuk tempahan tiket.

lakaran peta ke tempat majlis klik di sini

March 23, 2009

Majlis MaulidurRasul

Majlis Maulidur Rasul Silat Cekak Hanafi Ibu Pejabat akan diadakan seperti butiran berikut :

Tarikh : 28 Mac 2009 (Sabtu)

Masa : 7.00 mlm

Tempat : Akademi Silat Cekak Hanafi, Kg. Datuk Keramat

Pakaian : Baju Melayu/kurung

Aturcara :
- Solat Maghrib berjemaah
- Marhaban
- Solat Isyak berjemaah
- Ceramah Maulidur Rasul
- Jamuan

Semua ahli SCH dijemput hadir.

Lagu Rasmi

Lagu

"Peneraju Warisan Mutlak"

Penuh kesetiaan dan perpaduan
Kita junjung hasrat semua
Kepada guru, ibu dan bapa
Jasamu tetap dikenang

Kita menjaga keselamatan diri
Penuh semangat yang suci
Dengan asuhan jasmani dan rohani
Itulah amalan kami

Kita bersatu bicara benar
Tindak dengan bijaksana
Silat Cekak Ustaz Hanafi
Peneraju Warisan Mutlak

Kita berani dan beramanah
Mendukung wawasan mulia
Seni budaya pusaka kita
Untuk bangsa,agama dan negara

March 22, 2009

Lambang Persatuan

Lambang Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia










1)Bintang Pecahan 21
Kaedah pelajaran Silat Cekak Hanafi mengandungi 21 buah untuk mempertahankan diri.

2)Dua Bilah Parang Lading Bersilang
Senjata rasmi Silat Cekak Hanafi untuk mempertahankan diri.

3)Kalungan Padi
Menggambarkan amalan pengamal Silat Cekak Hanafi iaitu semakin berisi semakin tunduk.
Ia juga menggambarkan silat ini berasal dari masyarakat petani di negeri Kedah.

4)Tulisan Amad Muhamad Timbal Balik(Jawi)
Penekanan Silat Cekak Hanafi terhadap asuhan jasmani dan rohani dikalangan pengamalnya.

5)Sebilah keris
Melambangkan kedaulatan raja-raja Melayu, bangsa Melayu dan negara Malaysia

Pantun Silat Cekak

PANTUN SILAT CEKAK

Lahirnya Cekak kerana kesedaran
Bukan bermusuh sebagai tujuan
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan
Menyesuaikan dengan makna kemerdekaan

Silat Cekak benar-benar asli
Tidak bercampur hak luar negeri
Hendaklah belajar sesungguh hati
Untuk menjaga diri sendiri

Silat Cekak tersangatlah mudah
Bagi mereka yang mendapat hidayah
Sungguhpun begitu hendaklah tabah
InsyaAllah mendapat faedah

Silat Cekak pada lahirnya
Pengertian gerak pada batinnya
Hendaklah mahir seluruh anggotanya
Hendaklah jujur pada jiwanya

Sebenar guru ada hakikat
Dikuat pula amalan syariat
Ditambah pula ilmu maarifat
Berpakaian pula dengan isyarat

Taat ke guru membawa berkat
Sedikit belajar banyak yang dapat
Jika menderhaka menjadi mudarat
Semua ilmu tiada yang lekat

Dua ibu bapa tak boleh derhaka
Besar jasanya kepada kita
Kalau menderhaka bahaya menimpa
Di akhirat kita masuk neraka

Senjata Rasmi

PARANG LADING

  • Parang lading ialah senjata rasmi Silat Cekak Ustaz Hanafi
  • Parang ini pernah menjadi senjata penting kepada Panglima Negeri Kedah di zaman kesultanan Ahmad Tajuddin(1854-1879).
  • Senjata ini digunakan untuk mempertahankan diri dari pelbagai jenis serangan senjata tajam.
  • Senjata ini menjadi bukti yang jelas bahawa Silat Cekak Hanafi berasal dari negeri Kedah.
  • Parang ini mempunyai ukuran khas berdasarkan ukuran anggota si pemakai

Pembelajaran Silat Cekak Hanafi

Buah-Buah Silat

Terdapat 21 buah semuanya di dalam sistem pembelajaran Silat Cekak Hanafi.

Kaedah Asas

Kaedah A diilhamkan daripada gerakan doa.

Kaedah B diilhamkan daripada gerakan Qiam dalam sembahyang.

Kaedah C diilhamkan dari gerakan rukuk dalam sembahyang.

Kaedah D dilhamkan dari gerakan takbiratul ihram dalam sembahyang.

BUAH ASAS

BUAH JATUH

PELARI PISAU

BUAH POTONG

Di peringkat ini pengamal Silat Cekak Hanafi yang menyerang akan menang atau memotong kesemua buah-buah di peringkat JATUH.

ENAM TOLAK ENAM(6-6)
Di peringkat ini sesama pengamal tidak dapat menewaskan lawan masing-masing dan peringkat ini juga membuktikan pantang larang Silat Cekak Hanafi yang ke-4 secara praktikalnya.

BUAH SERANG
Konsep-Dikala ia menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannya. Tambahan pula sambil menyerang ia dapat menangkap.

BUAH UMUM
Pelajaran untuk mempertahankan diri dan menghadapi serangan dari bela diri luar dan senjata-senjata seperti pisau, tongkat, kaki dan sebagainya.

Proses Pembelajaran Silat Cekak Hanafi

PROSES PEMBELAJARAN

• Ijazah Pertama
• Pelajaran Kaedah A, B, C dan D
• Pelajaran Buah-buah ASAS
• Pelajaran Buah-buah JATUH
• Ijazah POTONG
• Pelajaran PELARI PISAU
• Pelajaran Buah-buah POTONG
• Ijazah TAMAT
• Pelajaran Buah ENAM TOLAK ENAM
• Pelajaran Buah SERANG
• Pelajaran Buah-buah UMUM
• Pelajaran Buah Siku Potong
• Pelajaran KEMAHIRAN
• Sijil Rendah Persilatan Silat Cekak Hanafi

Pembelajaran Silat Cekak Hanafi

SISTEM PEMBELAJARAN SILAT CEKAK USTAZ HANAFI

Silat Cekak Hanafi ialah sejenis silat bela diri yang benar-benar asli(tidak bercampur hak luar negeri) bukannya silat permainan atau Silat Olahraga. Pergerakan dan sistem silat ini adalah berasaskan gerak geri semulajadi manusia yang berlandaskan fikiran sihat dan jiwa yang tenang dan bersesuaian dengan landasan agama islam. Lebih menitikberatkan dari segi mempertahankan diri supaya melatih dengan keberanian dan bukan mengganas atau menceroboh. Silat Cekak Ustaz Hanafi menunggu serangan dengan berdiri lurus(seperti berdiri sembahyang) dan tidak mengelak ke kiri dan ke kanan bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu, makan gerak dalam gerak. Sebab hakikat Silat Cekak Ustaz Hanafi ialah Silat Gerak.

Yang paling istimewa dan ganjil sekali di dalam kaedah serangannya, dikala ia menyerang dan musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannnya.Tambahan pula sambil menyerang ia dapat menangkap.Pergerakan Silat Cekak menggunakan serta menumpang kekuatan musuh untuk menewaskannya. Oleh kerana ianya berasaskan pergerakan semulajadi manusia, silat ini dapat digunakan walaupun berada di tempat-tempat yang sempit seperti di dalam bas, lorong kecil atau di atas papan sekeping.

Guru Utama

EN. Marwi bin Latif

Latar Belakang

Dilahirkan pada 28 Disember 1946 di Kampung Baru Kuala Lumpur. Merupakan anak ke-4 dari 12 adik beradik. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Inggeris Jalan Cochrane, Kuala Lumpur sekitar awal tahun 1960an.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Jumilah Bt Omar dan kini dikurniakan 4 orang cahaya mata, 2 lelaki dan 2 perempuan.

Beliau merupakan seorang tokoh lama yang disegani dalam Silat Cekak.

Kefahaman mengenai hidup, persilatan dan didikan agama diperolehi dari Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad sepanjang pergaulannya yang rapat bersama Allahyarham. Beliau seorang yang ramah, mudah didekati, sentiasa memberi kata-kata perangsang berdasarkan pengalamannya bersama Allahyarham Ustaz Hanafi dahulu.


Persilatan dan Persatuan

Beliau mula belajar Silat Cekak 35 tahun yang lalu setelah diijazahkan oleh Al-Marhum Ustaz Hanafi Hj Ahmad pada tahun 1972. Beliau merupakan Jurulatih sepenuh masa persatuan ini sejak lebih 30 tahun yang lalu sehinggalah dilantik menjadi Guru Utama pada 18 Mac 2007 oleh Majlis Muafakat Tertinggi Silat Cekak Hanafi. Beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Kuantan Pahang atas permintaan Ustaz Hanafi bagi meneruskan perkembangan Silat Cekak di negeri Pahang. Sejak tahun 1976 hingga sekarang, beliau menjadi wakil rasmi persatuan bagi mengembangkan Silat Cekak di bumi Pahang. Di peringkat negeri, beliau memegang jawatan Yang DiPertua Negeri Pahang dan juga Penyelia Persilatan bagi negeri Pahang sejak 1994 hingga 2005. Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Majlis Seni Beladiri Pahang yang bernaung di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang sejak tahun 2005.

Sepanjang penglibatan beliau dengan Silat Cekak, beliau juga pernah mewakili Malaysia dalam acara Silat pada temasya Sukan SEA (SEA Games) ke-10 di Jakarta, Indonesia pada tahun 1979. Apabila Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia ditubuhkan pada tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Muafakat Tertinggi (MMT) dan Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (LPT) persatuan.

Pemimpin Agung

Y.M USTAZ HANAFI B. HAJI AHMAD


1)LATARBELAKANG

Dilahirkan di Kg. Sungai Baru, Mukim Gunung, Alor Setar, Kedah pada tahun 1923. Beliau berkelulusan darjah 4, Sekolah Melayu Kampung Gunung, Alor Setar. Mengaji pondok di kampung Alor Goncah, Mukim Gunung, Alor Setar dan Guar Cempedak, Gurun.

Berguru dengan Pak Ngah Shariff yang mahir dengan ilmu kepahlawanan, keagamaan dan ubat-ubatan. Berguru dengan Lebai haji Zain b. Abdul Rahman yang mengajar Kitab Hikam Ibni Ataillah (kitab tauhid) yang menjelaskan hakikat ketuhanan kepada Ustaz Hanafi. beliau berguru dan mengambil kembali Silat Cekak dari En. Yahya b. Said.

pada tahun 1947, beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Maimunah bt. Hj. Othman. Beliau dianugerahkan 6 orang cahayamata, 5 lelaki dan 1 perempuan.

Dalam bidang politik, beliau pernah menganggotai Parti Negara pimpinan Dato Onn Jaafar pada usia 25 Tahun dan beliau pernah bertanding kawasan pilihanraya Pulau Langkawi tahun 1959.

antara pengalaman kerja beliau ialah pernah bekerja sebagai Pegwai Zakat di pejabat Zakat Kedah, menjual kuih apam di Yala, Thailand.

Beliau merupakan pemimpin agung Silat Cekak Hanafi telah kembali kerahmatullah pada 13 Ogos 1986 di Kuala Lumpur.



2)KETOKOHAN

*Guru Utama Silat Cekak memimpin mulai 1965 hingga Ogos 1986.
*Nasionalis Melayu Muslim.
*Ahli Falsafah bijaksana.
*Pemimpin masyarakat.
*Ahli bahasa dan ahli budaya.
*Ahli perubatan tradisional.
*Ulama bertanggungjawab dan berperibadi mulia.



3)SEBAGAI ULAMA DAN PENDIDIK

*Fasih dalam bahasa arab.
*Seorang ulama yang berani menegur sesiapa sahaja terutama yang memandang jijik terhadap silat.
*Menekankan aspek berjasa kepada kedua ibu bapa.



4)SEBAGAI GURU SILAT

Terkenal dengan sifat berani tetapi tidak garang dan tidak sombong.
Sebelum berjumpa dengan Silat Cekak, beliau pernah mendalami ilmu persilatan lain seperti Silat Sendeng, Kuntau Jawa, Silat Gayung Fatani, Silat Terlak dan Kuntau Siam.
Beliau pernah menghadapi pelbagai cubaan membunuhnya seperti racun, perempuan dan sihir.
Beliau juga bersedia menerima, mendengar teguran dan pendapat dari anak murid.
Beliau mewujudkan Lembaga Pelajaran dan Tatatertib Silat Cekak untuk mentadbir sistem pembelajaran silat.
Seorang yang boleh dibawa berbincang dan bermesyuarat, amat mudah menyesuaikan dirinya di dalam majlis-majlis seminar ataupun konvensyen.
Salah seorang yang bertanggungjawab merangka perlembagaan Persatuan Silat Kebangsaan iaitu PESAKA.
Beliau merupakan salah seorang pengasas PESAKA.
Beliau memperjuangkan silat bukan tujuan peribadi tetapi berjuang kerana agama, bangsa, dan negara.



5)SEBAGAI AHLI PERUBATAN TRADISIONAL

Pakar dalam ilmu perubatan tradisional seperti mengubati penyakit buasir dan lain-lain.



6)SEBAGAI AHLI FALSAFAH DAN AHLI BUDAYA

Terkenal dengan falsafah yang mempunyai erti mendalam.
Menghasilkan banyak kata-kata pedoman serta pesanan yang penuh hikmah seperti:-

1.Keluarkanlah isi akalmu, bukan isi perutmu.

2.Berpangkatlah kamu, jangan terpengaruh dengan pangkatmu.Berhartalah kamu, jangan terpengaruh dengan hartamu.Beristerilah(bersuamilah) kamu, jangan terpengaruh dengan isteri(suami) kamu.

3.Sedangkan anjing yang kelaparan bila diberi makan akan mengenali orang yang berjasa kepadanya,apatah lagi manusia sewajibnya mengenang jasa orang tuanya.

4.Kita jangan cepat luntur dalam usaha mencapai matlamat perjuangan. Sekiranya kita tidak berjaya, anak kita mencapainya.Jika tidak, cucu kita akan mencapainya. Dan berusahalah bersungguh-sungguh serta bergantung hati kepada Allah s.w.t.



7)SEBAGAI NASONALIS

Memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Memperjuangkan budaya bangsa Melayu melalui silat.

Bergiat dalam bidang politik dalam tahun 40-an. Pernah memasuki Parti Seberkas dan Parti Negara.

Persilatan

PERSILATAN


LAMBANG PERSILATAN SENI SILAT CEKAK USTAZ HANAFI




Tulisan jawi Ahmad Muhamad timbal balik yang membawa maksud menunjukkan asuhan jasmani dan rohani yang ditekankan kepada pengamalnya.

Warna biru gelap yang melambangkan ketahanan jasad dan jiwa yang menjadi amalan ahli silat ini.




PENGERTIAN MAKNA CEKAK

Makan Cekak
Kesanggupan, keupayaan dan rasa tanggungjawab menjalankan tugas. Silat Cekak Hanafi adalah seni silat yang bertanggungjawab menjaga diri.

Cakak
Dalam bahasa Minangkabau bermaksud gaduh, boleh digunakan untuk menjaga keselamatan diri dalam pergaduhan.

Secekak
Bermaksud segenggam, Silat Cekak Hanafi mengajar intisari pelajaran silat sahaja dan bukannya cabang silat yang banyak(segantang).

Cekak
Dalam bahasa Jawa bermaksud ringkas.Sistem pembelajarannya serta pergerakannya adalah ringkas.

Cekak
Bermaksud pegangan iaitu silat ini mempunyai pendirian dan tujuan yang murni iaitu menjaga diri, agama dan bangsa dan bukan untuk bermegah-megah.



FALSAFAH PERSILATAN

"PAKAI TAK PAKAI, TAK PAKAI PAKAI"

Falsafah ini menerangkan keseluruhan pembelajaran dalam Silat Cekak Hanafi beerti sesama ahli Silat Cekak Hanafi setelah tamat pembelajaran tidak berdaya melawan sesama sendiri kerana kedua-duanya faham akan pelajaran silat.



NILAI-NILAI MURNI

a) Menanamkan semangat percayakan diri sendiri dimana kitalah yang bertanggungjawab menjaga diri sendiri.

b) Menanamkan semangat untuk sentiasa mengenang dan membalas budi terutama kepada guru, ibu dan bapa.

c) Menganjurkan semangat setiakawan, perpaduan dan kekuatan berpasukan.

d) Menanamkan sifat-sifat keberanian, bercakap benar, beramanah dan bijaksana.


MATLAMAT UTAMA

* Untuk Mendaulatkan Silat Melayu yang benar-benar asli.

* Untuk membasmi dan menentang segala bentuk ilmu ghaib, tahyul dan khurafat yang sememangnya bercanggah dengan agama Islam.



PANTANG LARANG

Tidak boleh derhaka kepada guru.

Tidak boleh derhaka ibu.

Tidak boleh derhaka bapa.

Tidak boleh bergaduh sesama ahli Silat Cekak.

Tidak boleh mencaci Silat-silat Melayu asli yang lain walaupun rendah mutunya.

Pengenalan Kepada Pesatuan

Asal Usul Silat Cekak Hanafi

Diamalkan oleh keluarga diraja dan panglima-panglima kanan negeri Kedah di zaman Sultan Ahmad Tajuddin pada abad ke-19.

Panglima Ismail iaitu panglima kanan kerajaan negeri Kedah adalah guru Silat Cekak yang terawal dikesan daripada sejarah.

Dari Panglima Ismail, silat ini diturunkan kepada Panglima Tok Rashid.

Panglima Tok Rashid kemudiannya mengamanahkan silat kepada En. Yahya Said dengan amanat supaya menyerahkan kembai silat ini kepada anak cucunya dari Kedah.

YM Ustaz Hanafi Haji Ahmad mengambil kembali dan melahirkan semula silat ini dari En. Yahya Said pada 5 Ramadan 1385 iaitu 28 Disember 1965.

Seterusnya dipangku oleh En. Ishak Itam (pemangku jawatan guru utama) setelah Ustaz Hanafi meninggal dunia.

Silat Cekak kemudiannya diserahkan kepada En. Md. Radzi Haji Hanafi anak ke-4 Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad sebagai Guru Utama.

Pada tahun 2007, En. Marwi bin Latif menjadi Guru Utama Silat Cekak yang baru.



PERKEMBANGAN AWAL SILAT CEKAK

Silat Cekak pada mulanya bergerak dibawah Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Ustaz Hanafi sebagai Ketua Saksi Seni Silat Perkumpulan Sri kedah melantik En. Yahya Said sebagai guru Silat Sri Kedah untuk mengajar Silat Cekak pada ahlinya, termasuklah Ustaz Hanafi.

Kelas pertama diadakan di rumah En. Shafie Darus di batu 4 3/4 Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah.

Kelas kedua dibuka di Alor Merah kemudiannya berpindah ke Telok Wan Jah dan merupakan kelas terakhir En. Yahya Said menjadi guru dibawah anjuran Sri Kedah.

Selepas itu, En. Yahya said memberi mandat kepada Ustaz Hanafi menjadi guru.

Ustaz Hanafi berjaya membuka kelas Silat Cekak di Bukit Mertajam dan Sungai Petani pada tahun 1968/69.

Kelas silat pertama di buka di Kuala Lumpur di Kampung Bumi Putera, Kampung Datuk Keramat.

Pada mulanya Seni Silat Cekak bergerak melalui Persatuan Bawean Putra (1970) sehingga 19hb Ogos 1971. Dan seterusnya dikenali sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia didaftarkan dan beribu pejabat di No. 32, Jalan Haji Sirat, Kampung Baru.

Mulai 21 Februari 1985, pergerakan Seni Silat Cekak telah beribu pejabat di Bangunan Silat Cekak di alamat Bangunan Silat Cekak, Jalan Sentul, Kuala Lumpur.

Dalam masa 40 hari selepas Ustaz hanafi meninggal dunia, pada 21hb September 1986, En. Ishak Itam telah diisytiharkan sebagai Guru Utama Seni Silat Cekak (pemangku).

En. Ishak Itam telah memangku jawatan Guru Utama Seni Silat Cekak selama 7 tahun sehingga pada 19 Mei 1993, Silat Cekak telah dikembalikan kepada En. Md. Radzi Haji Hanafi (Anak ke-4 Allahyarham Ustaz Hanafi Ahmad).

En. Md. Radzi Haji Hanafi diisytiharkan sebagai Guru Utama Silat Cekak pada 23hb Mei 1993.

Apabila En. Md. Radzi Haji Hanafi memegang jawatan Guru Utama pergerakan Silat Cekak telah didaftarkan dan ditubuhkan dibawah nama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz hanafi Malaysia pada 5hb Ogos 1994 dengan nombor pendaftaran 5592/94.

Kini pada 2007, jawatan Guru Utama Silat Cekak yang baru di sandang En. Marwi bin Latif setelah diisytiharkan pada 31 Mac 2007(dilantik badan tertinggi 18 Mac 2007).

Sehingga hari ini beribupejabat di Kompleks Sukan Kg. Datok Keramat.

March 20, 2009

Pengenalan Kepada PSSCUHUKM

Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UKM (PSSCUHUKM) ditubuhkan sejak tahun 1976. kini PSSCUHUKM bernaung di bawah Urusetia ARTISUKMA UKM di bawah Pusat Kebudayaan UKM.

PSSCUHUKM mengadakan latihan pada setiap Isnin dan Rabu, jam 9.00 malam di gelanggan takraw depan Dato Onn.

sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Pejabat Urusan PSSCUHUKM di Aras 2, Bangunan Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia.

March 18, 2009

Selamat Datang!

Ini merupakan blog Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UKM. Kepada semua ahli Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi UKM, sila tinggalkan comment anda dalam blog ini.

terima kasih..

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Enterprise Project Management